Langkau ke kandungan utama

Bab Enam - Lampu Merah di Pelabuhan


Malam merangkak pergi. Lambat serasa bagai embun yang menitis memenuhi kolam. Arman di hamparan batu pemecah ombak melakar impian. Ada sebuah puisi yang baru diilhamkannya.



Badai

Kedinginan bukan utusan
Untuk menjemput aku berlalu pergi
Kehangatan bukan jalan pintas
Untuk aku menggantikannya.

Sesungguhnya untukmu,
Ada ruang di sanubari,
Tersimpan sejuta tahun,
Walau badai,
Walau api,
Walau lautan yang menimbusnya,
Ia tetap di sini…

Sampai bait terakhir ini, Arman terhenti seketika. Bertanyakan pada hatinya.. untuk apa aku masih mencintainya?
Tiada jawapan.
Segalanya kelu, segalanya bisu. Segalanya seperti kabur lampu merah di pelabuhan sana. Ombak kecil gemersik memainkan lagu. Ada anak ketam merangkak di tepian air. Sayup di sana, lampu merah di pelabuhan masih kabur menyala.
Arman menulis lagi.

Ia tetap di sini,
Ia abadi,
Ia tulus….

Terhenti lagi.
Tulus?
Aku tulus pada siapa? Pada orang lain? Pada seseorang yang sedang didakap suaminya? Sedang aku sendirian hanyut di sini seperti lautan yang tak bertepi?
Bungkam.
Bisu, sepi dan di langit ada bintang bintang yang berserakan. Sejenak melupakan sajak itu, dia memandang ke langit.
Oh Tuhan, wahai Zat yang mencipta segala galanya. Engkau jua Maha Pengatur, Engkau jua Maha Mengetahui segala gala yang aku tidak mengerti. Amin.
Menunduk meranti di tepian danau. Berserakan bunga bunga orkid liar di situ. Suasana pagi yang indah, hening di hujung kampung yang begitu mekar, murni dan anak sungai jernih yang mengalir perlahan. Arman mengatur langkah perlahan dan teratur ke tepian dangau kecil di situ. Tinggal Pak Tua seorang diri. Hidup sebatang kara dan berpaut rezeki pada tanah yang dua relung di hadapannya. Pak Tua seperti seorang ayah pada Arman.
“Assalamualaikum”
“Waalaikumsalam, lama tak datang, banyak kerja ke?” Pak Tua sedang mengasah mata cangkulnya yang agak sumbing.
“Sibuk sikit PakCik, Pakcik dah makan? “
“Dah, sedap jugak makan kuih yang Makcik Timah kau hantar pagi tadi”
Arman meletak bungkusan ole ole yang dibawanya. Bangun menuju ke kolam anak sungai kecil itu sambil membawa sekeping roti. Di cubitnya sedikit demi sedikit dibuangnya sambil menikmati pemandangan indah di situ. Sejuk hatinya melihat gelagat anak sempilai berebutkan roti yang ditaburkannya.
“Man, ada yang tak kenakah? Nampak lain sikit kamu hari ini?” Lama Pak Tua memerhatikan gelagatnya. Arman diam sambil menghalakannya pandangannya pada sawah yang luas terbentang.
“Pasal Cikgu Nur? “ Pak Tua mula meneka.
Diam. Bangun mengangguk perlahan. Seperti anak kecil dia bangun menghala ke arah Pak Tua. Wajahnya seakan ujud kekeliruan, kesangsian dan nampak sedikit tak bermaya.
“Man, Pakcik pernah muda , pernah melalui usia sebaya dengan Man. Semua orang sukakan apa yang dihajati menjadi kenyataan. Tetapi kenyataan tak selalunya sama dengan hakikat. Kalau sudah tertulis Cikgu Nur tu bukan jodoh Man, sudah takdir namanya. Banyak lagi insan yang baik dalam dunia ini, Cuma Man perlukan sedikit masa untuk mengenalinya sahaja.”
“Hmm…, taklah sampai nak mengeluh,Cuma teringat sahaja. Lagipun Cikgu Nur ada datang dengan suaminya baru baru ni. Comel anaknya, baik dan manja.Bertuah suaminya kan?” seakan melorotkan gundahnya.
“Bila? Tak sempat Pakcik nak bertemunya.. sihat ke mereka anak beranak?”
“Alhamdulillah”



BUNGA BUNGA BERSERAKAN


Malam semakin bungkam. Semuanya sudah semuanya nyenyak dibuai mimpi barangkali. Kedinginan penghawa dingin menusuk ke tulang. Namun Cikgu Nur masih belum mampu melelapkan matanya. Banyak yang bermain di fikirannya. Anis Aryani entah hanyut ke mana dibuai mimpi, begitu juga Haikal. Malamnya tak sehebat dulu, tidurnya semakin terganggu. Nadira, siapakah gadis itu? Apakah dia Cuma seorang pekerja atau lebih dari itu? Kalaupun ia dan Arman mempunyai istimewa, apakah hak dia untuk menghalangnya. Dia tak mengerti, cuma yang dia tahu ada satu perasaan baru… CEMBURU!
Kenapa dia harus cemburu, dia sendiri pun tak pasti. Dulunya bukan Arman yang inginkan perpisahan itu, tapi dirinya sendiri. Atas cadangan bapanya dan mungkin juga keinginan hatinya, perpisahan itu berlaku juga. Dia masih ingat surat surat Arman yang terakhir. Arman menyatakan padanya, untuk cintanya dia sanggup memberi hadiah yang paling mahal dalam hidupnya iaitu … PERPISAHAN. Dalam surat itu juga Arman menceritakan tentang taman yang mereka bina telah hanyut di rentap tengkujuh. Cikgu Nur masih rindukan nostalgia itu, pelukan hangat seorang kekasih dan sajak sajak mereka.
Suatu ketika dia pernah terfikir tentang apakah hukuman yang bakal diterimanya kerana melukakan hati seorang insan. Tiada apa yang kurang pada Arman selain kemiskinannya. Tiada apa yang lebih pada Haikal selain kekayaannya. Dia mengerti betapa Arman telah melalui suatu masa yang sangat sukar dalam hidupnya. Ditinggalkan kekasih hatinya dan.. kematian ibunya. Dia faham semua itu tapi apakan daya, semuanya sudah terlambat. Sedaya upaya dia cuba untuk melupakan Arman tapi tak semudah itu, semakin lama perasaan itu semakin kuat sehinggakan adakalanya dia amat terasa bersalah pada suaminya.
“Haikal, maafkan aku. Engkau suamiku juga ayah kepada anak kita. Sedaya mungkin aku akan cuba menyayangimu sepertimana aku menyayangi Abang Arman.”
Sewaktu melihat Arman mendukung dan dan mencium Anis dia merasakan satu tautan yang amat kuat, dia seperti melihat seorang kanak kanak lain yang seperti manifestasi cinta mereka berdua. Tapi itu semua sudah menjadi sejarah. Dia tahu hati Arman tulus, dia tahu Arman tidak berdendam padanya. Dia juga tahu tentang sajak dan lukisan Arman. Di situlah segalanya, tawa dan tangisnya. Dia paling suka pada satu hadiah Arman, sekeping lukisan yang menggabungkan wajah mereka berdua. Dia tahu Arman melukis itu dari hatinya. Yang pasti, Arman telah memberikan apa yang terbaik dalam hidupnya.
Arwah ibunya? Orang tua yang selalu dipanggil emak itu bukan manusia biasa. Ketulusan hatinya dan sifat keibuannya terlalu membangkitkan kerinduan yang amat kuat dalam dirinya. Dia tak pernah melihat emak sebagai orang lain, tapi ibunya sendiri. Hati mana yang tak sedih bila ibunya meninggal. Rumah tua itu bagaikan istana baginya. Di sana dia memiliki segalanya. Seorang insan yang terlalu menyayanginya dan seorang ibu! Di waktu ini dia melihat dirinya sendiri. Dia melihat kejamnya dia menghancurkan hati dua insan. Apa salah mereka? Airmatanya mengalir laju dan dia memeluk erat suaminya, itu sajalah yang dia miliki dan dia tidak pasti tentang hari esoknya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bab Tiga - Monolog Untuk Nur .

Wajahnya lembut, ayu seperti sering tersenyum. Aku sering melihat dia, seperti melihat aku dalam dirinya. Aku merinduinya, dan mungkin juga aku mencintainya. Jauh kan? Tapi... dia mengkagumkan aku. Dalam dirinya aku melihat seakan ada sinar jernih yang menembusi jantungku. Sayang... terlalu jauh perjalanan ini kurasakan. Hanya engkau menemaniku sewaktu begini. Nur... kasihsayang ini terlalu besar, terlalu agung juga terlalu akrab. Jika kau ingin lari dariku, apa lagi yang tertinggal untukku. Segalanya jadi pudar, segalanya seakan hilang bersama bayu. Di teratak hati ini, cuma ada satu ruang dan di ruang itulah segalanya terisi dengan pengertian rindu dan kasihsayangmu. Nur, ruang ini adakalanya terlalu luas dan adakalanya sempit sehinggakan aku seakan terperosok di dalamnya. Tuhan menemukan kita, dan dalam pertemuan ini, ianya terlalu indah dan tenang. Aku berjanji pada diriku untuk menyintai seseorang atas rasa cintaku kepada Yang Maha Agung. Dunia ini penuh berliku dan aku seakan t

Bab Lapan - Dingin Air

Arman sudah gila! Arman bercuti. Tapi……! Kenapa Kampung Perigi? Hanya kerana Air Terjun? Atau………. Khairani Abdullah? Ya. Memang kerana gadis itu. Arman menyewa sebuah bilik kecil di rumah Pak Cik Salleh. Orang tua itu tinggal seorang diri. Isterinya baru saja meninggal dunia dua tahun lalu. Anak anaknya semua sudah memiliki rumah sendiri. Rumah itu agak usang, tapi pada Arman cukuplah semua itu lagipun dia sudah biasa dengan rumah kampung. Pakcik Salleh seorang yang warak tapi agak ganjil. Dia seorang pendiam dan banyak beribadat. Arman senang dengan Pakcik Salleh disebabkan sikapnya yang tidak begitu mengambil tahu hal orang lain. Di atas tikar mengkuang, Arman bersila sambil menghadap kitab lama milik Pakcik Salleh. Kasyful Asrar yang entah berapa tahun usianya. Tulisan jawi lama yang adakalanya sedikit sukar untuk dibaca. Namun, lebih sukar untuk diterjemahkan. Pakcik Salleh banyak mengajarnya tentang hakikat hidup, tentang kecintaan kepada Tuhan Pencipta Alam. Tapi, banya

Bab Empat - Selamat Datang Cikgu Nur

Bukan satu wadah, bukan jua rasa. Malah, lebih dari itu, ia adalah enigma. Senja demi senja…, dan hari yang yang bersambung akrab, dia rasa capek, bungkam melihat sambil mengharungi episod demi episod cinta mistiknya. Makin lama makin lemah, tapi makin nyata… Arman sekali lagi terperosok dungu di sebalik rimbunan mengkuang pantai. Cikgu Nur…, mengapa sekali lagi engkau hadir? Mengapa engkau gusar? Mengapa engkau merinduiku?…. Arman tak rasa apa apa andai di benci atau di jauhi. Pergi jauh dari sini… lari semahumu… ke tempat yang paling jauh. Mengapa harus ia terserempak lagi, apakah dunia ini yang terlalu kecil atau dia yang tak ke mana mana. Di sana .. mentari masih merah dan di hujung sana…. Cikgu Nur, namun bezanya bukan dia seorang… Haikal Azman.. yang sah memiliki Cikgu Nur. Seorang suami! Seketika tadi, sewaktu jarinya sibuk melakar kanvas, seakan dentuman halilintar bila di sapa seseorang. Terus terpaku berus ditangannya.., perlahan lahan berpaling sambil melirik gusar. Ny